Wednesday, May 19, 2010

Alternatif

Terasa pula bila ingin menulis blog dalam bahasa Malaysia, jadi untuk terbitan blog aku kali ini, aku ingin menulisnya dalam bahasa yang membawa kita bersama di negara ini...

Semakin hari, aku rasakan yang aku semakin tua dan semakin tua ini bermakna semakin mencabar perjalanan hidup ini dan aku juga dapat merasakan tanggungjawab aku semakin besar. Sesetangah kita, memang petah bercakap dan berkata-kata..mungkin tidak bagi aku kerana aku rasa lebih senang menulis serba sedikit coretan tentang apa yang aku rasakan dalam sanubari ini..

Bagi kawan-kawan seperjuanganku yang sedang menjalani praktikal, sekarang merupakan waktu yang genting kerana pendaftaran subjek telah bermula dan mula berfikir tentang apa jurusan yang ingin kita dalami sebagai seorang pelajar jurusan kejuruteraaan kimia. Seperti rakan-rakan sekalian, aku juga tidak terkecuali dari dilema memilih apa yang ingin aku pelajari. Aku akui, pemilihan ini bukan mudah seperti sesetengah orang,tidak terkecuali; diriku sendiri.

Aku pada dasarnya seseorang yang tahu akan apa yang aku mahukan, tetapi apabila aku ingin memilih jurusan apa yang aku mahu ceburi, aku menjadi keliru, takut dan ragu-ragu. Aku takut adakah aku mengambil pilihan yang salah? Adakah aku bertindak terburu-buru?Dapatkah aku menghadapi subjek-subjek yang aku akan hadapi? dan bermacam-macam lagi persoalan yang muncul di fikiran aku. Kenapa aku jadi begini? Bermacam-macam pendapat aku cuba dapatkan, ada yang membantu, ada yang tidak dan tidak kurang juga yang enggan memberi pendapat. Tapi tidak mengapa, aku faham mungkin aku cuba membesar-besarkan hal kecil seperti ini bagi mereka.

Mungkin ini bukanlah sesuatu yang besar bagi sesetengah orang tetapi bagiku ianya sangat penting kerana aku punya tanggungjawab kepada orang tuaku. Aku sangat menyayangi mereka kerana telah mendidikku sejak aku menjejakkan kaki ke dunia ini. Aku ingin memilih jalan yang terbaik agar aku dapat membalas jasa mereka. Tanggungjawab anak sulung bukanlah mudah, aku mula merasakannya sekarang. Keluargaku amat memerlukan aku, dan aku harus bekerja keras untuk membahagiakan mereka dan orang yang ku sayangi. Aku terhutang budi pada kedua orang tuaku.

Seperti kata orang-orang tua, belajarlah dari pengalaman hidup. Sejak aku menjalani praktikel aku di ABF, bermacam-macam pengalaman yang aku perolehi. Pada mulanya aku agak kekok untuk berdamping para pekerja ABF, tetapi lama kelamaan kemesraan itu terjalin dan aku telah mempunyai ramai rakan-rakan di tempat kerjaku sendiri. Satu budaya yang aku kagumi di tempat kerjaku kini ialah sifat hormat-menghormati antara pekerja-pekerja yang aku rasakan hanya wujud di ABF. Mengapa saya katakan hanya terdapat di ABF? Ini adalah kerana golongan muda di sini memanggil golongan senior sebagai "Apai ". Dalam kaum iban, "Apai" bermaksud bapa. Pada mulanya aku amat terkejut dan kagum apabila mendengar seorang operator Melayu memanggil seorang senior operator sebagai "Apai". Bukan operator sahaja malah manager dan jurutera di situ juga turut memanggil mereka "Apai". Ia amat unik bagiku dan aku berasa bangga kerana perasaan hormat menghormati ini wujud di sini tanpa mengira bangsa, agama dan budaya.

Banyak lagi pengalaman yang aku pelajari semasa aku menjalani praktikel aku di sini. Jika aku ingin kongsikan, barangkali sesiapa yang membaca blog yang aku coretkan kali ini akan tidur sebelum sempat membacanya sehingga habis.

No comments: